Bantuan Sara Hidup 2019: Kemaskini Permohonan & Syarat Kelayakan
Ingin memohon Bantuan Sara Hidup 2019?
Pastikan anda baca artikel ini sampai habis.
Berikut kami kongsikan maklumat penting bagaimana untuk memohon BSH 2019 dan juga apakah syarat-syarat kelayakan termasuk cara kemaskini permohonan sedia ada.
Kemaskini: Kepada penerima BR1M 2018, anda perlu semak semula status permohonan kerana tidak semua penerima BRIM layak menerima Bantuan Sara Hidup Rakyat
Terbaru di portal rasmi BSH terdapat tiga kemaskini yang anda perlu tahu iaitu:
• Tarikh akhir penunaian BSH 2018 dilanjutkan sehingga 14 Disember 2018. Penunaian boleh dibuat di mana-mana Cawangan BSN.
• Tempoh kemas kini waris BSH 2018 di LHDNM adalah sehingga 15 Januari 2019. Manakala tarikh akhir tuntutan Skim Khairat Kematian (SKK) BSH 2018 di mana-mana Cawangan BSN adalah sehingga 31 Januari 2019.
• Pendaftaran permohonan Bantuan Sara Hidup (BSH) 2019 akan dibuka mulai Januari 2019. Pemakluman rasmi mengenai tarikh pendaftaran akan dibuat oleh Kementerian Kewangan Malaysia dalam tempoh terdekat.
BSH AKAN MULA DIAGIH SELEPAS TAHUN BARU CINA
Bantuan Sara Hidup (BSH) kepada golongan isi rumah berpendapatan rendah akan mula diagihkan selepas sambutan Tahun Baharu Cina 2019.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata kerajaan sedang mengumpul data bagi penerima yang layak.
Umum sedia maklum BSH diperkenalkan pada 30 Mei lalu oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir sebagai insentif bantuan kerajaan bagi menggantikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM).
Pemberian pertama telah dilakukan pada 6 Jun lalu manakala pemberian seterusnya adalah pada 15 Ogos lepas — pembayaran dibuat lebih awal bagi meringankan beban rakyat menjelang perayaan Aidiladha.
Penerima yang layak menerima BR1M tahun ini secara automatik layak menerima Bantuan Sara Hidup.
Lebih 4 juta orang penerima telah menikmati pemberian BSH yang pertama pada 6 Jun lalu.
Permohonan baru akan dibuka tidak lama lagi. Namun pemegang Kad Debit Diskaun Siswa TIDAK LAYAK memohon bantuan ini.
Selain itu, turut diumumkan bantuan khas Aidilfitri sebanyak RM400 kepada penjawat awam gred 41 dan ke bawah dan RM200 kepada semua pesara kerajaan.
KEMASKINI BELANJAWAN 2019
Terkini dalam pembentangan Belanjawan 2019 tadi Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengumumkan akan meneruskan dan menambah baik Bantuan Sara Hidup (BSH) kepada golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah dengan menyalurkan peruntukan secara lebih bersasar.
Kadar BSH yang ditentukan bagi golongan isu rumah berpendapatan bulanan RM2,000 dan ke bawah ialah RM1,000.
Manakala bagi isi rumah berpendapatan bulanan daripada RM2,001 hingga RM3,000 ke bawah pula akan menerima bantuan berjumlah RM750.
Isi rumah berpendapatan bulanan daripada RM3,001 hingga RM4,000 akan diberikan bantuan bernilai RM500.
Berita baik — Kadar tambahan BSH sebanyak RM120 untuk setiap anak berumur 18 tahun ke bawah juga disediakan, namun terhad kepada empat orang.
Kerajaan bagaimanapun tidak menetapkan had umur dalam menyalurkan bantuan tambahan BSH kepada anak orang kelainan upaya (OKU).
“Dengan kata lain, bagi golongan isi rumah dengan pendapatan RM2,000 ke bawah dan mempunyai empat orang anak, bantuan yang akan diterima secara keseluruhan ialah RM1,480.
“Jumlah ini lebih tinggi daripada Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang diberikan kerajaan terdahulu, iaitu hanya RM1,200,” katanya.
INSURANS PERUBATAN RM50 SEHARI
Turut diumumkan pemberian insurans perubatan RM50 sehari kepada golongan B40.
Kerajaan akan menyemak senarai penerima Bantuan Sara Hidup 2019 untuk menentukan siapa yang layak menerima bantuan insurans tersebut.
Ini adalah satu kemudahan dan bantuan kepada golongan B40 yang akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2019 dengan dikendalikan Bank Negara.
Sebarang maklumat lanjut akan dikemaskini di Facebook rasmi Semakan Online atau layari laman web rasmi Lembaga Hasil Dalam Negeri di : https://bsh.hasil.gov.my/
Tiada ulasan:
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.